Thursday, June 15, 2006

Terlambat

Waktu itu, jam menunjukkan tepat pukul 9 malam. Saya akan memeriksa pesakit terakhir dari tingkat tujuh wad 712. Ada pesakit baru yang dimasukkan ke situ petang tadi kerana serangan jantung. Di kepala katilnya tertulis nama "ABDULLAH". Ketika saya menghampirinya, dia teruja ingin tahu siapa yang datang tetapi akhirnya sayu tatkala mengetahui orang itu adalah saya. Saya letakkan stetoskop ke dadanya. Jantung bergerak pantas, perlahan, kadang-kadang tidak teratur. Abdullah mula bersuara, "Doktor, boleh tak...," dia terdiam sejenak. Dari kelopak matanya menitis butiran kaca. Lalu, saya sentuh tangannya menunggu dengan sabar dia meneruskan bicara.

Sayu hati saya melihat Abdullah menyeka air matanya. "Boleh tak doktor telefon anak saya. Tolong beritahu dia, saya diserang sakit jantung. Saya tiada saudara lain," ujarnya dengan nada yang tersekat-sekat. "Tentu sahaja saya akan menghubungi dia. Pak cik jangan risau ya." Abdullah menarik nafas lega. Kemudian raut wajahnya berubah seperti mendesak, "Bolehkah doktor telefon sekarang? Seberapa segera yang boleh." Baiklah. Saya akan menelefonnya dengan segera," kata saya sambil menepuk mesra bahunya. Saya memadamkan lampu dan melihat Abdullah menutup mata dari wajah yang sudah berusia 50 tahun itu. Tiba dipintu, Abdullah memanggil saya lagi. "Doktor boleh berikan saya pen dan kertas.

Berdasarkan borang maklumat pesakit, saya mendapatkan nombor telefon anak Abdullah dan terus menelefonnya. "Assalamualaikum Adam, saya Dr. Faizal dari hospital. Ini berkenaan bapa saudara. Dia dimasukkan kehospital kerana mendapat serangan jantung dan...". "Hah? Tidak!" jeritan Adam membuatkan saya terkejut. "Abah tidak tenat, kan?"

"Doktor, tolonglah, jangan biarkan dia pergi dulu," suara Adam kedengaran sungguh sedih. "Insya-Allah, dia berada dalam keadaan yang baik sekarang." "Doktor tida faham. Abah dan saya sudah lama tidak bercakap. Pada hari ulang tahun saya ke-21, kami telah berselisih faham mengenai teman wanita saya. Saya terus meninggalkan rumah."

"Saya menyesal kerana terlalu menurutkan kata hati. Hati saya meronta-ronta ingin bertemu dengannya. Kalau boleh saya ingin bersujud di kakinya memohon keampunan kerana kalimah terakhir yang saya katakan kepadanya adalah "Saya benci abah!" Saya jadi sebak mendengar Adam menangis teresak-esak Seorang ayah dan anak, masing-masing sangat kehilangan, sehingga membuat saya memikirkan ayah saya yang jauh.

"Saya akan sampai dalam setengah jam,"katanya. Saya berusaha menyibukkan diri tetapi masih tidak dapat memberi tumpuan. Apa yang saya tahu, bilik 712! Tiba-tiba, "Kod 99, bilik 712. Kod 99", pemberitahuan bergema menerusi alat pembesar suara hospital. Abdullah! Saya terus meluru ke biliknya. Saya memeriksa denyut nadinya. Tidak ada! Abdullah mendapat serangan jantung buat kali kedua! Kejutan elektrik kardioversi yang diberikan keatasnya tidak berhasil. Abdullah sudah tiada lagi.

Beberapa orang jururawat menanggalkan oksigen dan alat-alat lain dari tubuh Abdullah, kemudian satu persatu beredar dari bilik tersebut. Yang tinggal cuma saya sambil bergumam, "Bagaimana perkara ini boleh berlaku, dan bagaimana aku hendak berdepan dengan anaknya nanti". Keluar dari bilik tersebut, saya melihat seorang anak muda berkata sesuatu dengan jururawat yang memintanya bersabar. Sejurus kemudian, dia menekup mukanya yang penuh dengan seribu penyesalan. Dia menangis. Saya pasti yang itu Adam.

Saya menghampirinya. Adam memandang tanda nama saya. Saya mengajaknya duduk dibangku. "Maafkan saya Adam." Setelah agak lama suasana senyap menyelubungi kami, Adam bersuara: "Saya tidak pernah membencinya doktor, bahkan saya amat menyayangi". Perlahan-lahan kami berjalan menuju bilik 712. adam merangkul kaki siayah sambil mulut tidak henti mengucapkan maaf. Saya berusaha untuk tidak melihat Adam saat itu, sedih, sedih ditinggalkan seseorang yang amat disayangi, yg telah lama tidak bertemu.

Saya berdiri di sisi meja, di sebelah katil arwah. Tangan saya tersentuh secarik kertas dan saya ingat, ia kertas yang diminta oleh Abdullah sebelum dia menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ia tidak lagi kosong tetapi mempunyai coretan yang sangat indah, berbunyi: "Adam anak abah yg tersayang, abah memaafkan kamu. Abah berdoa agar engkau juga memaafkanku. Abah tahy Adam menyayangi abah, bukan? Sesungguhnya abah juga amat menyayangimu nak."-Abah

Kertas itu membuat tangan saya bergetar ketika menyerahkannya kpd Adam. Adam membacanya sekali, kemudian dua kali, wajahnya perlahan-lahan bersinar, kedamaian mulai terpancar dari matanya. Kemudian dia memeluk kertas tersebut, diciumnya bertalu-talu.

Di luar jendela, beberapa bintang terlihat bersinar di kegelapan malam. Saya bergegas meninggalkan Adam, menuju ke bilik saya. Lalu saya capai telefon, ingin menelefon ayah dan mengatakan kepadanya bahawa saya amat menghargai jasa-jasanya membesarkan saya selama ini. "Saya sayangkan ayah."

Bilakah kali terakhir anda menghubungi ayah, bertanyakan sakit pening serta makan minumnya?

...nanti terkilan sebagaimana yg dirasai oleh Adam dan saya walaupun cerita kami berbeza.

No comments: