Thursday, September 06, 2007

Singapura Diserang Todak

Pada suatu ketika dahulu Singapura telah diserang todak. Secara tiba-tiba, beratus-ratus ikan todak melompat ke arah pantai Singapura dan menikam ramai rakyat Singapura yang sedang berada di tepi pantai. Ramai rakyat Singapura mati terkena tikaman todak.

Raja Singapura amat terperanjat dengan berita serangan todak ini. Baginda pun pergi ke pantai untuk melihat sendiri malapetaka yang telah menimpa negerinya. Baginda berasa sedih melihat ramai rakyatnya dibunuh ikan todak. Bagi mengatasi masalah ini, baginda memerintahkan rakyatnya berkubukan betis di sepanjang pantai. Malangnya, lebih ramai rakyat yang mati apabila terus diserang ikan todak.

Seorang budak yang bijak bernama Hang Nadim telah menyaksikan serangan kejam ikan todak ini. Hang Nadim mempunyai satu akal untuk melawan serangan ikan todak. Tanpa berlengah, Hang Nadim pergi mengadap Raja Singapura.

"Tuanku, patik rasa jika kita terus menyuruh rakyat menggunakan betis mereka untuk mengelak serangan ikan todak, lebih ramai rakyat yang akan mati," sembah Hang Nadim.

"Adakah kamu mempunyai cadangan yang lebih baik?" tanya Raja Singapura.

"Patik rasa adalah lebih baik jika kita menggunakan batang pisang utk melawan serangan todak," tambah Hang Nadim

"Batang pisang?Bagaimana?", tanya Raja dgn penuh hairan

"Kita boleh menggunakan batang pisang sebagai kubu sepanjang pantai. Apabila ikan todak menyerang, jongor todak akan terlekat pada batang pisang. Apabila ikan todak ini sudah terlekat, rakyat sekalian boleh menetaknya sehingga mati," tambah Hang Nadim.

Apabila kata-kata Hang Nadim didengar oleh Raja Singapura, baginda sedar akan kebenarannya. Tanpa berlengah, baginda memerintahkan rakyatnya agar menggunakan batang pisang untuk dijadikan kubu. Nescaya, buah fikiran Hang Nadim itu berjaya. Ikan todak berjaya ditewaskan dan Singapura akhirnya terselamat.

Raja Singapura berasa sungguh gembira dan menghadiahkan Hang Nadim dengan sebuah hadiah yg sungguh istimewa. Baginda bersyukur kerana negeri Singapura dikurniakan dengan seorang budak yang sungguh bijak.

Malangnya, para pembesar negeri sangat iri hati dan dengki dengan kebijaksanaan Hang Nadim. Mereka khuatir Hang Nadim akan mengambil tempat mereka sebagai penasihat Raja.

"Budak ini masih kecil tetapi sungguh bijak. Apabila dia besar nanti, tentu akan menjadi lebih bijak. Patik yakin Raja akan mengambilnya sebagai penasihat baginda," kata Perdana Menteri kepada para pembesar negeri lain.

"Hang nadim mesti dibunuh! Patik akan memujuk Raja untuk membunuhnya," tambah Perdana Menteri dengan marahnya.

Para pembesar negeri pun bersepakat untuk menghasut Raja agar membunuh Hang Nadim. Mereka menasihati Raja agar membunuh Hang Nadim yang cerdik itu kerana takut apabila besar dia akan menjadi lebih cerdik. Mereka terus menyakinkan Raja jika Hang Nadim menjadi lebih pintar dpd Raja, nescaya mahkota Raja Singapura akan cuba dirampasnya.

Setelah mendengar hasutan para pembesar negerinya, Raja Singapura pun menjatuhkan hukuman bunuh ke atas Hang Nadim. Hang Nadim diikat dengan rantai besi lalu dibuang ke laut. Ramai rakyat Singapura berasa sungguh sedih dengan kematian Hang Nadim yg telah menyelamat Singapura dari serangan todak.


  • Jgn mudah rasa iri hati mungkin apa yg budak kecil itu lakukan hanyalah kerana beliau sayangkan negara serta raja dan rakyat.
  • Tak semestinya orang yang telah lama kita kenal itu lebih jujur dengan kita..oleh itu jgn terlalu terburu-buru dlm mempekatakan sesuatu

No comments: